ARKIB : 12/03/2008
Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
MARAN 11 Mac - Sekolah Menengah
Kebangsaan (SMK) Seri Jengka di sini mencipta rekod tersendiri apabila
mengekalkan prestasi keputusan 100 peratus dalam Sijil Tinggi Pelajaran
Malaysia (STPM) selama tujuh tahun berturut-turut sejak 2001.
Pengetua SMK Seri Jengka, Datin
Fatimah Kasim berkata, usaha gigih guru, ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan
Guru (PIBG) serta wakil rakyat menjadi pencetus kepada kejayaan mengekalkan
prestasi cemerlang sekolah itu.
Kata beliau, pihaknya turut
berbangga kerana pencapaian lima Prinsipal meningkat kepada 70 peratus
berbanding 46 peratus dalam keputusan STPM 2006.
''Kejayaan cemerlang calon STPM
sekolah ini banyak didorong oleh semangat belajar yang tinggi di samping
sokongan Ahli Parlimen Maran yang menyalurkan peruntukan besar terhadap
pelbagai program motivasi,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Bagi memastikan kecemerlangan
itu berterusan, Fatimah menambah, pihaknya menyusun pelbagai program bersepadu
dan terancang untuk membolehkan calon lebih bersedia untuk menduduki STPM 2008
Oktober ini.
Sementara itu, SMK Jengka 16
muncul sekolah terbaik daerah Maran berikutan kejayaan mencipta keputusan 100
peratus dalam STPM 2007 yang diumumkan hari ini.
Jurucakap Pejabat Pelajaran
Daerah (PPD) Maran berkata, seramai 30 daripada 42 pelajar atau 71.4 peratus
calon STPM 2007 memperoleh 5 Prinsipal.
Katanya, daripada jumlah yang
mendapat 5 Prinsipal itu, seramai 19 pelajar memperoleh Purata Nilai Gred
Komolatif (PNGK) melebihi 3.0 ke atas.
''Di Maran terdapat lima
sekolah menengah yang menawarkan tingkatan enam iaitu SMK Maran, SMK Seri
Jengka, SMK Jengka 2, SMK Jengka Pusat, SMK Jengka 16,'' katanya.
Guru Penolong Kanan Pentadbiran
SMK Jengka 16, Darussalam Taib menyifatkan kejayaan sekolah itu mencipta
kejayaan cemerlang 100 peratus dalam STPM kerana kesungguhan dan keyakinan diri
semua pihak terbabit.
Katanya, sokongan ibu bapa,
PIBG, jabatan, agensi kerajaan seperti Felda dan wakil rakyat banyak membantu
kepada keputusan cemerlang itu
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0312&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_01.htm#ixzz4ypJowJiI
© Utusan Melayu (M) Bhd