Sabtu, 18 November 2017

SMK Seri Jengka kekal lulus 100 peratus



ARKIB : 12/03/2008
 Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
MARAN 11 Mac - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Jengka di sini mencipta rekod tersendiri apabila mengekalkan prestasi keputusan 100 peratus dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) selama tujuh tahun berturut-turut sejak 2001.

Pengetua SMK Seri Jengka, Datin Fatimah Kasim berkata, usaha gigih guru, ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta wakil rakyat menjadi pencetus kepada kejayaan mengekalkan prestasi cemerlang sekolah itu.

Kata beliau, pihaknya turut berbangga kerana pencapaian lima Prinsipal meningkat kepada 70 peratus berbanding 46 peratus dalam keputusan STPM 2006.

''Kejayaan cemerlang calon STPM sekolah ini banyak didorong oleh semangat belajar yang tinggi di samping sokongan Ahli Parlimen Maran yang menyalurkan peruntukan besar terhadap pelbagai program motivasi,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bagi memastikan kecemerlangan itu berterusan, Fatimah menambah, pihaknya menyusun pelbagai program bersepadu dan terancang untuk membolehkan calon lebih bersedia untuk menduduki STPM 2008 Oktober ini.

Sementara itu, SMK Jengka 16 muncul sekolah terbaik daerah Maran berikutan kejayaan mencipta keputusan 100 peratus dalam STPM 2007 yang diumumkan hari ini.

Jurucakap Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Maran berkata, seramai 30 daripada 42 pelajar atau 71.4 peratus calon STPM 2007 memperoleh 5 Prinsipal.

Katanya, daripada jumlah yang mendapat 5 Prinsipal itu, seramai 19 pelajar memperoleh Purata Nilai Gred Komolatif (PNGK) melebihi 3.0 ke atas.

''Di Maran terdapat lima sekolah menengah yang menawarkan tingkatan enam iaitu SMK Maran, SMK Seri Jengka, SMK Jengka 2, SMK Jengka Pusat, SMK Jengka 16,'' katanya.

Guru Penolong Kanan Pentadbiran SMK Jengka 16, Darussalam Taib menyifatkan kejayaan sekolah itu mencipta kejayaan cemerlang 100 peratus dalam STPM kerana kesungguhan dan keyakinan diri semua pihak terbabit.

Katanya, sokongan ibu bapa, PIBG, jabatan, agensi kerajaan seperti Felda dan wakil rakyat banyak membantu kepada keputusan cemerlang itu

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0312&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_01.htm#ixzz4ypJowJiI
© Utusan Melayu (M) Bhd