Sabtu, 9 Julai 2016

Keputusan STPM memberangsangkan

ARKIB : 24/03/2000
Keputusan STPM memberangsangkan
KUALA LUMPUR 23 Mac - Beberapa buah sekolah di seluruh negara mencatat keputusan memberangsangkan dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 1999.

Di Negeri Sembilan, tujuh buah sekolah menengah mencatatkan kelulusan 100 peratus.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Kusaini Hasbullah berkata, ketujuh-tujuh sekolah itu mencatat keputusan cemerlang dengan pencapaian empat dan lima prinsipal.

Sekolah-sekolah berkenaan ialah Sekolah Menengah Agama (SMA) Persekutuan, Labu; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Paul, Seremban; SMK Tuanku Muhammad, Kuala Pilah; SMK Dato' Undang Musa Al-Haj, Kuala Klawang; SMK Agama Sh. Hj. Mohd. Said, Seremban; SMK Dato' Sedia Raja, Rembau dan SMK Za'ba Kuala Pilah.

SMA Persekutuan Labu terus unggul apabila mencatatkan peratusan tertinggi iaitu 87 peratus bagi calon yang lulus penuh dengan lima prinsipal.

Sejumlah 1,069 yang menduduki peperiksaan STPM tahun lalu dan sebanyak 1,044 pelajar atau 97.6 peratus lulus.

''Jumlah ini menunjukkan penurunan sebanyak 1.2 peratus berbanding 98.9 peratus yang dicatatkan pada keputusan peperiksaan STPM tahun 1998,'' katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Seremban hari ini.

Di PERLIS, sebanyak lima daripada 10 buah sekolah di negeri itu mencapai keputusan 100 peratus lulus penuh.

Pemangku Pengarah Pendidikan Perlis, Sulaiman Ismail berkata, lima buah sekolah itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Arau, SMK Agama Perempuan Kangar, SMK Datuk Sheikh Ahmad, SMK Perlis dan SMK Syed Alwi.

Menurutnya, bilangan pelajar yang lulus penuh sekurang- kurang satu prinsipal pula ialah sebanyak 313 calon, atau 94.85 peratus daripada 330 calon yang menduduki peperiksaan itu.

Bilangan calon di Perlis yang memperoleh kelulusan lima prinsipal ialah seramai 74 calon.

''SMK Agama Arau memperoleh peratus calon yang mencapai keputusan lima prinsipal tertinggi iaitu 53.85 peratus.

''Sekolah agama itu juga mencatat peratus peningkatan pencapaian lima prinsipal iaitu kosong peratus kepada 53.85 peratus,'' katanya.

Sulaiman berkata, sekolah-sekolah lain yang mencatat peratus peningkatan pencapaian lima prinsipal ialah SM Datuk Sheikh Ahmad sebanyak 12.44 peratus dan SMK Syed Saffi pula 7.43 peratus.

Beliau memberitahu, calon terbaik keseluruhan peperiksaan STPM tahun lalu di negeri ini ialah Leera Leman Che Leman dari SMK Derma yang memperoleh 4A dan 1C.

Calon terbaik bagi aliran Sains iaitu Keng Pei Sin dari SMK Perlis yang memperoleh 3A, 1C dan 1R.

Sementara itu di Terengganu, sebanyak 1,070 daripada kesemua 1,140 calon STPM tahun lalu memperoleh keputusan lulus penuh.

Keputusan itu juga menunjukkan peningkatan dari segi jumlah lulus penuh iaitu sebanyak 0.74 peratus berbanding pencapaian tahun sebelumnya.

Ketua Penolong Pengarah (Sektor Pengurusan Akademik) Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Ismail @ Mohd. Ali Muda berkata, mereka mendapat keputusan itu dengan sekurang-kurangnya lulus satu prinsipal.

Menurutnya, selain itu, sebanyak 46 calon lulus sebahagian manakala tiga calon gagal.

Katanya, enam sekolah mencatat keputusan seratus peratus iaitu SMK Padang Midin, Kuala Terengganu Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud, Besut, SMK Nasiruddin Shah, Besut, SM Agama Durian Guling, Marang, SM Agama Tok Jiring, Kuala Terengganu, dan SMK Tengku Ibrahim, Setiu.

Bagaimanapun kata beliau, tiada pelajar mendapat kelulusan penuh 5A dalam semua mata pelajaran.

Di Melaka, sebanyak 1,016 pelajar calon STPM 1999 berjaya dalam peperiksaan tersebut dengan lulus sekurang-kurangnya satu mata pelajaran.

Peratusan yang lulus berkurangan sedikit berbanding pada 1998.

Peratusan yang lulus dalam STPM kali ini ialah 98.55 peratus, kurang 0.12 peratus berbanding 98.66 peratus pada 1998.

Pengarah JPN Melaka, Sairi Tahir berkata, sebanyak 14 pelajar memperoleh 5A semua kertas yang diduduki.

''Daripada jumlah tersebut, 11 calon adalah dari SMK Tinggi Melaka, dan setiap seorang dari SMK Yok Bin, SMK Munshi Abdullah dan SMK Gajah Berang,'' katanya.

Bilangan yang mendapat 5A pada tahun lalu juga berkurangan jika dibandingkan sebanyak 28 pelajar pada tahun 1998, kata Sairi.

Beliau berkata, sebanyak sembilan buah sekolah mencatat kelulusan 100 peratus.

Di Sabah pula, seramai 2,501 atau 83.59 peratus daripada 2,824 calon lulus sekurang-kurangnya satu mata pelajaran, sekaligus melayakkan mereka memohon masuk ke universiti.

Pengarah JPN Sabah, Datuk Dr. Hasbullah Mohd Taha berkata, seramai 2,992 pelajar mengambil peperiksaan itu tahun lepas dan daripada jumlah itu 2,824 telah mencapai keputusan lulus penuh.

''Keputusan peperiksaan STPM tahun lepas amat membanggakan dengan pencapaian 94.39 peratus lulus atau 2,824 calon telah mencapai keputusan lulus '' katanya.

Dr. Hasbullah berkata, sebanyak 28 buah sekolah telah mencatatkan kelulusan tinggi mengatasi pencapaian peringkat kebangsaan iaitu 91.18 peratus dengan Sekolah St. Mary Sandakan mencatat keputusan tertinggi iaitu 99.07 peratus lulus.

Di Johor, calon STPM yang lulus penuh dalam semua lima mata pelajaran meningkat kepada 1,120 berbanding hanya 972 calon pada 1998.

Pengarah JPN Johor, Rashdi Ramlan berkata, calon yang memperoleh lima A dalam semua mata pelajaran juga meningkat kepada 21 calon pada 1999 berbanding 18 calon pada tahun 1998.

Menurutnya, calon terbaik dari negeri ini ialah Chew May Yeen dari Sekolah Menengah Tinggi Segamat dan Kuan Pei Pei dari SMK Datuk Sri Amar Diraja, Muar dengan memperolehi gred 1 dan 2 bagi setiap kertas yang diambil.

''Sebanyak 15 buah sekolah kerajaan telah mencapai kelulusan 100 peratus dengan calon lulus penuh sekurang-kurangnya dalam satu mata pelajaran, manakala yang sekolah lain memperoleh peratusan melebihi 80 peratus,'' katanya dalam satu kenyataan akhbar.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0324&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_04.htm#ixzz4DyxcHAia © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan