ARKIB : 23/03/1999
Calon berjaya dalam STPM
meningkat
GOMBAK 22 Mac - Keputusan
peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 1998 yang diumumkan hari
ini menunjukkan peningkatan dari segi kualiti dan bilangan calon yang berjaya
memperoleh gred A dalam kelima-lima mata pelajaran.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri
Najib Tun Razak ketika mengumumkan keputusan STPM berkata, seramai 35,670 calon
atau 91.22 peratus daripada 42,660 calon lulus penuh sekurang-kurangnya satu
mata pelajaran.
Katanya, seramai 206 pelajar
telah mendapat Gred A dalam kelima-lima mata pelajaran berbanding 197 calon
yang berjaya berbuat demikian dalam peperiksaan STPM tahun 1997.
''Jumlah calon yang mendapat
Gred A dalam kelima-lima mata pelajaran bertambah sebanyak sembilan calon dan
ia menunjukkan pencapaian calon tahun ini telah meningkat dari segi kualiti.
''Peningkatan tahun ini adalah
terdiri daripada kedua-dua aliran sains dan sastera,'' katanya pada sidang
akhbar khas bagi mengumumkan keputusan peperiksaan STPM di bangunan Majlis
Peperiksaan, di sini, hari ini.
Setiausaha Agung Majlis
Peperiksaan Termuzi Abd. Aziz turut hadir pada sidang akhbar yang julung-julung
kali diadakan di bangunan tersebut.
Menurut Najib, seramai 10,936
atau 27.97 peratus mendapat kelulusan penuh dalam lima mata pelajaran, 7,333
calon (18.75 peratus) lulus penuh empat mata pelajaran dan 6,370 (16.29
peratus) lulus penuh tiga mata pelajaran.
Katanya, sebanyak 5,844 (14.95
peratus) pula lulus penuh dua mata pelajaran dan 5,187 (13.27 peratus) lulus
penuh satu mata pelajaran.
Beliau berkata, Perak merupakan
negeri yang paling ramai calon berjaya memperolehi 5A iaitu 60 orang diikuti
oleh Pulau Pinang (33), Melaka (28), Johor (18), Negeri Sembilan (16), Sarawak
(12), Selangor dan Kedah masing-masing 11, Wilayah Persekutuan (10), Sabah (5)
dan Pahang (2).
Sekolah Menengah Jenis
Kebangsaan Sam Tet, Ipoh pula diberi pengiktirafan sebagai sekolah terbaik
dengan 28 pelajarnya mendapat 5A.
Sekolah-sekolah lain ialah
Sekolah Tinggi Melaka (16), Sekolah Menengah Kit Sin, Bukit Mertajam (11),
Sekolah Menengah Tunku Ampuan Durah, Seremban (8) dan Sekolah Menengah
Methodist (ACS), Ipoh (8).
Pelajar Sekolah Jenis
Kebangsaan Hua Lian, Taiping, Khoo Boon Seng yang mendapat Gred 1 dalam 12
kertas bagi setiap mata pelajaran yang diambil menjadi pelajar terbaik STPM
1998.
Seramai 42,660 calon telah
mendaftar untuk mengambil peperiksaan STPM berbanding 46,798 calon pada tahun
sebelumnya.
Daripada jumlah itu, seramai
23,893 (56.01 peratus) adalah calon sekolah kerajaan dan 18,767 (43.99 peratus)
adalah calon persendirian yang terdiri daripada 6,497 calon (15.23 peratus)
sekolah swasta dan 12,270 calon (28.76 peratus) persendirian.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0323&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_03.htm#ixzz4DytwKceA
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan