Oleh Amin Ridzuan Ishak
aminridzuan@bh.com.my
KUANTAN: Seramai 21 calon Sijil
Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2015 di Pahang memperoleh Purata Nilai Gred
Keseluruhan (PNGK) 4.00.
Pengarah Jabatan Pendidikan
negeri, Datuk Rosdi Ismail, berkata bilangan itu menurun berbanding 24 calon
mendapat keputusan sama pada tahun 2014.
"Calon yang mendapat PNGK
3.0 pada STPM 2015 meningkat kepada 870 orang atau 40.22 peratus berbanding
tahun sebelumnya, iaitu 844 calon atau 35.99 peratus," katanya di sini,
sebentar tadi.
Katanya, seramai 2,139 atau 98.89
peratus daripada 2,163 calon sekolah kerajaan di negeri ini mendapat kelulusan
penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran lulus penuh yang mengatasi
pencapaian peringkat nasional iaitu 97.08 peratus.
"Peratus kelulusan itu
menunjukkan penurunan 0.19 peratus berbanding 99.08 peratus pada tahun
sebelumnya, namun ada peningkatan dari segi calon lulus penuh lima mata
pelajaran (5P), iaitu seramai 39 orang berbanding 13 pada tahun 2014.
"Peningkatan juga direkodkan
bagi peratusan calon lulus penuh empat mata pelajaran, iaitu 75.64 peratus atau
1,636 calon berbanding 72.29 peratus pada tahun sebelumnya," katanya.
Rosdi berkata, dari aspek Gred
Purata Sekolah (GPS) pula, sebanyak 49 sekolah kerajaan mencatat 2.78 mata atau
peningkatan 0.08 mata berbanding 2.70 pada tahun lalu dan ia mengatasi minimum
GPS peringkat nasional iaitu 2.65 mata.
Katanya, Sekolah Menengah
Kebangsaan (SMK) Dong, Raub yang mencatat GPS 3.21 mata dianugerahkan Sekolah
Terbaik STPM 2015 peringkat nasional bagi kategori luar bandar oleh Majlis
Peperiksaan Malaysia apabila 35 daripada 48 calonnya memperoleh PNGK lebih 3.0
mata.
SUMBER-BERTA HARIAN ONLINE Rabu,
2 March 2016 | 11:04am
Tiada ulasan:
Catat Ulasan